Saturday, 6 April 2013

SITUASI 25 :Semangat kerjasama



Alhamdulillah sekali lagi untuk semester kali ini Kolej Kediaman UPSI iaitu Kolej Zaba telah pun mengadakan Hari Terbuka Kolej Zaba. Tahun lepas, pertama kali Muna dipilih untuk menjadi sakretariat Hari Terbuka Kolej Zaba, rasa sangat letih apabila ditugaskan untuk memegang bahagian aktiviti. Setiap hari muka akan terpapar di hadapan pentas Kolej Zaba seawal 8 pagi, jika tiada kelas untuk dihadiri. Sekali lagi untuk tahun ini, Muna memilih untuk memasuki sakretariat Hari Terbuka Kolej Zaba, walaupun tanggungjawab yang lebih berat perlu dipikul iaitu pada semester ini banyak tugasan yang perlu Muna lakukan, namun untuk membalas jasa Kolej Zaba yang sanggup menerima Muna untuk menetap di kolej tersebut selama enam semester berturut-turut Muna relakan jua pengorbanan untuk menjadi sakretariat.

Kali ini Muna ditugaskan untuk memegang bahagian sukan bersama rakan-rakan yang lain. Sukan yang dipertandingkan dalam HTKZ ini ialah futsal dan juga bola jaring. Alhamdulillah penyertaan sangat memuaskan. Apa yang ingin Muna sampaikan di sini, ialah semangat kerjasama dan saling membantu yang ditunjukkan oleh semua sakretariat HTKZ. Dalam program seperti inilah kita dapat melihat konsep setiakawan di samping mengekalkan ukhwah sesama individu walaupun selama ini mungkin kita tidak kenal antara satu sama lain. Inn Shaa Allah esok 7 April 2013, akan berakhirnya Hari Terbuka Kolej Zaba bagi tahun 2013, Muna rasa berbangga dan berterima kasih kepada pihak Kolej Zaba kerana dapat memegang prinsip untuk melahirkan pelajar kolej zaba yang berguna, bukan setakat mampu menjadi pendidik, malah mereka juga mengajar kami untuk menjadi lebih daripada itu agar kami dapat keluar bertemu dan bergaul sesama masyarakat tanpa kekok.


Kumpulan Jambu yang sudi memeriahkan Hari Terbuka Kolej Zaba 2013 ^_^

SITUASI 24 :Kaum adam tidak dibenarkan !



Melihatkan kepada papan tanda di atas, mungkin sesetengah orang sudah pernah melihat papan tanda tersebut. Papan tanda ini berada di kawasan Kolej Kediaman Zaba UPSI. Dari sudut ayat yang ingin disampaikan melalui papan tanda tersebut, kita pun sudah sedia maklum bahawa kawasan tersebut hanya boleh dilalui oleh golongan wanita dan dilarang sama sekali kaum adam melalui kawasan tersebut.

Tetapi, masih ada juga kaum adam yang melalui kawasan tersebut, mungkin mereka kurang jelas dan tidak mengetahui kewujudan papan tanda ini di kawasan tersebut. Hal ini sebenarnya, bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak. Ya sebenarnya kawasan ini memang kawasan yang menjadi tumpuan orang untuk lalu lalang dan memudahkan mereka bergerak ke setiap tempat, boleh dikatakan kawasan tersebut kawasan jalan mudahlah yew ^_^.. Tapi kawasan tersebut terdiri daripada blok yang didiami oleh anak-anak gadis, hal ini akan membuatkan tidak sesuai kiranya ada kaum adam yang sesuka hati lalu di kawasan tersebut, maka diharapkan selepas ini masing-masing akan prihatin dan mengetahui kewujudan papan tanda yang sudah bertahun-tahun diletakkan di kawasan tersebut ya ... ^_^

Friday, 5 April 2013

SITUASI 23 :Facebook



Jika ditanya mengenai "Facebook" pasti anak kecil yang masih menyusu juga sudah tau apa itu istilah muka buku. Laman sosial yang paling menyerlah dalam kalangan rakyat di dunia ini ialah "Facebook", "Twitter" dan berbagai lagi. Daripada peringkat anak kecil sehinggalah warga emas yang sudah berusia juga Muna percaya mesti mempunyai akaun muka buku masing-masing. Apabila kita melihat dari sudut positif, laman sosial seperti ini mampu memberikan kita pelbagai informasi yang mungkin kita tidak tahu akhirnya kita akan tahu. Melalui laman ini juga kita dapat berinteraksi dan saling mengeratkan ukhwah antara masyarakat tidak kira bangsa dan tahap usia. Namun, apa yang menjadi pokok persoalannya di sini adalah terdapat segelintir pengguna laman sosial ini yang telah menyalahgunakannya.

Laman sosial seperti ini bukannya tempat untuk kita menuntut hak, berdemonstrasi, mengutuk mahupun menghina sesama sendiri. Apa yang anda lihat pada gambar di atas, sudah menunjukkan sikap dan perilaku yang kurang sopan terjadi pada masyarakat tegar pengguna laman sosial seperti "Fcaebook". Mereka menggunakan laman sosial ini sebagai perantaraan untuk mengeluarkan kata-kata kesat dan meluahkan perasaan. Muna rasa hal tersebut tidak perlu dan tidak patut berlaku. Apa yang ditunjukkan oleh kita dalam laman sosial ini mampu menunjukkan kepada masyarakat umum bagaimana sikap dan akhlak kita sebenarnya. Dari segi penggunaan kata-kata yang kasar dan mampu mengguris hati sesetengah pihak juga perlu diambil berat. Ingatlah, laman sosial seperti ini kita gunakan dengan sebaik yang mungkin. Jika hari ini tabiat kita seperti ini, mana mungkin satu hari nanti generasi anak-anak kecil yang sudah tahu dan faham apa itu "Facebook", "Ipad" dan sebagainya mampu menunjukkan sikap yang lebih buruk daripada kita.

Renung-renungkan san selamat beramal... ^_^

Wednesday, 3 April 2013

SITUASI 22 :Modal Insan masyarakat

Definisi Modal Insan adalah mempunyai sahsiah yang terpuji, mampu menghayati sistem kepercayaan falsafah dan prinsip, serta berintegriti iaitu mempunyai wawasan, perancangan yang rapi, keterampilan diri, pemantauan, dan adab dan akhlak yang terpuji. (Dr. Che Noraini Bt Hashim, Pensyarah UIAM). Dalam membentuk modal insan yang terbaik dan seimbang, aspek golongan muda perlu dititikberatkan dengan lebih kuat.  Hal ini supaya anak-anak muda ini dapat menjadi bangsa yang berpekerti mulia, mempunyai hemah yang tinggi, berjiwa besar, cinta akan negara dan mereka mempunyai kekuatan jasmani dan rohani yang utuh dan kuat. Dalam pembentukan Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9), kerajaan telah menggariskan pengetahuan atau kemahiran dan modal intelek termasuk keupayaan, kemahiran dan sebagainya akan merangkumi unsur modal insan itu secara holistik.

Sebagai mahasiswa yang terpimpin, kami pelajar universiti juga tidak terlepas daripada mempelajari bahan-bahan kemahiran yang sebegini. Bukan sahaja pendidikan yang diterima kami hanya berunsurkan kepada akademik, malah kami juga diterapkan dan dididik dengan akhlak serta adab yang baik mengikut nilai-nilai murni dan Islam yang luhur. Kursus Modal Insan ialah kursus yang mampu memberikan didikan yang terbaik dari segi penampilan bakal guru cemerlang yang bakal dilahirkan oleh universiti kelak melalui pembentukkan sahsiah JERI. Oleh itu, pembelajaran yang kami terima dalam kursus ini banyak mengajar kami mengenai keperihalan unsur-unsur nilai itu sendiri secara umum mahupun khusus. Dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran ini, konsep ini perlu dimainkan dalam membentuk jati diri dan sahsiah terpuji dalam diri setiap masyarakat terutamanya golongan muda.


Buku Modal Insan 





Tuesday, 2 April 2013

SITUASI 21 :Disiplin mahasiswa ...

Bas ialah pengangkutan yang utama di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Suatu masa dahulu, mungkin masalah kekurangan bas dan pemandu bas yang tidak beradab membuatkan mahasiswa/i mula marah dan memberontak. Kadang kala bas ada tapi, pemandu sengaja melengah-lengahkan waktu untuk membawa pelajar ke destinasi yang ingin dituju. Tetapi, masalah tersebut telah pun diatasi dengan sebaik mungkin oleh pihak UPSI sendiri. Hal ini, dapat dilihat dengan adanya pengangkutan bas Kiffah di UPSI sekarang yang menjadi pengangkutan utama pelajar ke kelas, mahupun ke kolej kediaman masing-masing. Jika dilihat dari segi perkhidmatan yang diberikan oleh pihak pengurusan bas hari ini jauh lebih baik daripada yang dahulu. Banyak berlaku masalah jenayah pada suatu ketika dahulu, namun sekarang masalah tersebut rasanya sudah semakin jauh ditinggalkan dan dilupakan oleh kebanyakan pihak. Pengurusan pengangkutan bas sekarang sangat profesional dan bagi Muna terbaik. Hal ini kerana, mereka mengikut masa dan sesi perjalanan yang ditetapkan dengan baik dan teratur sekali. Pengangkutan itu sendiri juga mempunyai suasana yang bersih dan cantik serta selesa kepada penumpang yang menaikinya. Namun, apa yang menjadi isu di sini adalah dari segi disiplin mahasiswa itu sendiri. Sejak dari dulu hingga sekarang disiplin mahasiswa UPSI ini tidak boleh diubah dengan begitu cepat. Mana tidaknya, perjalanan bas yang dijalankan sekarang mengikut waktu dan masa yang tepat, tetapi mahasiswa masih lagi dengan sikap lama iaitu tidak menepati masa. Jadi apa yang berlaku adalah lambakan penumpang dalam bas itu sendiri membuatkan keadaan bas menjadi kurang selesa dan pemandu juga sukar untuk melihat arah laluan perjalanan. Walaupun telah ditegur kepada beberapa mahasiswa yang berdiri di dalam bas kerana tidak mempunyai tempat duduk yang mencukupi, namun, mereka bersikap acuh tak acuh apabila disuruh keluar dan bergerak ke bas yang masih kosong di belakang. Sikap sebegini sepatutnya perlu diubah agar kita sendiri sebagai mahasiswa yang bakal bergelar guru dapat menjadi teladan yang terbaik kepada masyarakat di luar sana yang sering memandang.



Bas dari KAB ke Kampus Baru sesak dengan penumpang yang ramai