Perasaan jijik dan geli terdetik apabila setiap kali melintasi longgokan sampah yang bertaburan di tepi-tepi jalan. Terdetik persoalan apakah perasaan si pembuangnya? Adakah mereka lupa untuk mengambil sampah tersebut dan di buang di dalam tong sampah yang disediakan. Tidakkah mereka yang membuang sampah begini mahukan persekitaran yang bersih dan sedap mata memandang?. Sikap pengotor dan pemalas ialah perkataan yang tepat menggambarkan keperibadian segelintir individu yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana, kebanyakan sampah-sarap itu bukanlah sisa buangan industri, tetapi ianya ialah sampah sarap seperti barangan lusuh dan sisa makanan. Pengarah Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPA) negeri, Zainal Fitri Ahmad berkata, amalan membuang sampah di kawasan bukan sepatutnya telah menjadi budaya masyarakat sejak sekian lama.
" Ia sudah menjadi budaya yang sukar dibentuk biarpun pelbagai usaha telah dilakukan seperti kempen dan sebagainya. Malah sebenarnya pelaku ini boleh berhadapan dengan tindakan tegas denda sehingga RM100,000 dan hukuman penjara."
Memandangkan pada semester ini terlalu banyak tugasan yang menginginkan Muna dan rakan-rakan untuk mengunjungi perpustakaan, maka boleh dikatakan tiga kali seminggu kami akan berkunjung ke perpustakaan untuk mencari bahan-bahan tugasan. Utamanya, bahan untuk kajian kami sebagai pelajar semester enam yang bakal menjalani latihan praktikum pada bulan Julai nanti. Pandangan yang tertumpu di perpustakaan Tuanku Bainun UPSI tersebut bukan hanya pada buku-buku sahaja malah sewaktu melintasi perkarangan perpustakaan tersebut, Muna melihat banyak sisa sampah-sarap dibuang oleh masyarakat yang tidak bertimbang rasa. Mungkin dengan pemikiran positif kita mengandaikan bahawa mereka yang berkelakuan demikian terlupa atau tidak sengaja membuang sampah tersebut dengan sesuka hati. Sebaiknya buanglah amalan budaya yang tidak molek dipandang orang itu. Semaikan budaya membuang sampah di tempat yang telah disediakan iaitu tong sampah. Sebab itulah kebanyakan tong sampah sekarang kita lihat dilekatkan dengan tagging perkataan "gunakanlah saya". Maksud di sini tong sampah itu sendiri meminta untuk digunakan dirinya, tambahan kita yang dikurniakan akal fikiran yang waras masih tidak dapat berfikir sedemikian. Jika kita masih mengamalkan budaya membuang sampah secara sesuka hati, nescaya negara akan terus dipenuhi dengan timbunan sampah-sarap dan semakin ramai masyarakat yang pengotor mula menonjolkan diri mereka.